Saturday 6 October 2012

Pekeliling Pengurusan Panitia Mata Pelajaran


Pekeliling 1

Bahagian Sekolah-Sekolah,
Kementerian Pendidikan Malaysia,
Tingkat 12-14,
Bangunan Bank Pertanian,
Leboh Pasar Besar, Telefon : 03-2922066
50604 Kuala Lumpur. Kawat : Pelajaran 
Ruj. Kami : KB(BS)8591/Jld.II/(44)
Tarikh : 13 Mac, 1986

Semua Pengarah Pelajaran Negeri Malaysia.
Y.B. Datuk/Tuan,

Per: Surat Pekeliling Ikhtisas
Bil. 4/1986 Panitia Mata Pelajaran 

Dalam menjalankan kerja-kerja penyeliaan sekolah-sekolah oleh Jemaah Nazir Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Daerah, salah satu perkara yang hendak diselia adalah tentang kewujudan dan keberkesanan panitia mata pelajaran di sekolah-sekolah. Adalah didapati bahawa ada sekolah-sekolah yang telah menubuhkan panitia mata pelajaran dan dapat berfungsi dengan baik dan ada pula di sebaliknya. Walau bagaimanapun, sama ada panitia mata itu berfungsi atau tidak, Kementerian Pelajaran difahamkan bahawa pihak-pihak yang telah membuat penyeliaan ini telah ditanya oleh pihak sekolah, atas dasar atau arahan manakah, panitia mata pelajaran ini perlu ditubuhkan.

2. Oleh yang demikian, surat pekeliling ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memberitahu pihak sekolah tentang perlunya penubuhan panitia mata pelajaran, supaya dengan ini, penubuhan dua hala di antara pihak sekolah dengan pihak-pihak yang membuat penyeliaan dapat diadakan dengan lebih berkesan lagi.

3. Berikut adalah panduan mengenai panitia mata pelajaran dan pihak sekolah adalah dikehendaki menubuhkan atau memperkemaskan lagi panitia mata pelajaran supaya keberkesanan pengajaran- pembelajaran di sekolah dapat ditingkatkan.

Latar Belakang

Kebanyakan para pelajar dalam pembelajaran dan motivasi serta minat mereka terhadap sesuatu mata pelajaran yang dipelajari mempunyai hubungan rapat dengan kebolehan dan kekesanan guru yang mengajar. Guru tidak ragu-ragu lagi mempunyai peranan yang penting dalam menentukan sama ada matlamat pencapaian akademik para pelajar di sekolah tercapai atau tidak.

Menyedari hakikat ini, maka adalah wajar bagi guru yang terlibat atau mengajar sesuatu mata pelajaran yang sama, menggembelingkan tenaga mereka dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti dan / atau tugas-tugas mengajar sebagai pendidik. Mereka juga harus mempunyai semangat bekerjasama, saling membantu dan berkongsi fikiran, pengalaman serta kepakaran untuk memperbaiki lagi kecekapan dan kekesanan mereka. Dengan demikian, guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran berpeluang untuk bekerjasama dan menyelaraskan usaha mereka dengan lebih terkelola dan bersepadu. Dengan wujudnya badan ikhtisas seumpama ini, guru yang menganggotainya juga berpeluang untuk mencari penyelesaian kepada masalah-masalah, bukan sahaja dalam bidang pengajaran, bahkan juga masalah yang berhubung dengan motivasi, sikap dan tabiat belajar pelajar.

Struktur dan Organisasi

3.2.1 Panitia mata pelajaran adalah sebuah badan ikhtisas yang dianggotai oleh semua guru yang mengajar mata pelajaran yang sama di sesebuah sekolah. (Sekolah-sekolah kecil yang bilangan gurunya sedikit adalah difikirkan tidak perlu menubuhkan pelbagai panitia mata pelajaran). 
3.2.2 Badan ini hendaklah dipimpin dan dikendalikan oleh Guru Besar atau Pengetua Sekolah.
3.2.3 Semua Ketua Panitia mata pelajaran adalah secara automotik menjadi ahli-ahli Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Pelajaran masing-masing di dalam Jawatankuasa tersebut dan menjadi sebagai penghubung di antara ahli panitia dengan Guru Besar atau Pengetua Sekolah.
3.2.4 Keputusan-keputusan yang diambil oleh tiap-tiap panitia di dalam perjumpaan-perjumpaan berhubung dengan isu-isu masalah-masalah kurikulum dan pengajaran perlu dibawa oleh ketua panitia kepada Guru Besar atau Pengetua atau Penolong Kanannya, sama ada untuk mendapat penyelesaian atau makluman.
3.2.5 Di sekolah-sekolah di mana Jawatankuasa Kurikulum Sekolah belum ditubuhkan, Ketua panitia masih memainkan peranan penting untuk berhubung dengan Guru Besar atau Pengetua bagi membentangkan masalah-masalah atau isu-isu yang sedang dihadapi dan mensyorkan segala cadangan atau permintaan ahli-ahli panitia berhubung dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran.

Tujuan Panitia Mata Pelajaran

Berikut adalah di antara beberapa tujuan yang dikenal pasti untuk panitia mata pelajaran;-

3.2.1 Memperbaiki dan meningkatkan mutu dan kekesanan pengajaran-pembelajaran;
3.2.2 Berikhtiar dan berusaha untuk mendapatkan strategi-strategi mengajar yang inovatif dan boleh mendorong serta menggerakkan kecenderungan para pelajar terhadap pembelajaran.
3.2.3 Memperbaiki prestasi pelajar di dalam peperiksaan (berasaskan sekolah dan awam) dalam mata pelajaran berkenaan berpandukan atau berasaskan kepada prestasi/ target yang ditunjukkan dalam rancangan akademik sekolah;
3.2.4 Mewujudkan semangat kerjasama di antara panitia mata pelajaran dengan persatuan kelab akademik.

Peranan Panitia Berikut adalah di antara perkara yang dianggap perlu dilaksanakan oleh panitia, sejajar dengan peranannya sebagai sebuah badan ikhtisas.

3.4.1 Memperolehi sukatan pelajaran yang terbaru atau kemas kini untuk kegunaan ahli-ahli panitia;
3.4.2 Menyediakan rancangan mengajar untuk ketiga-tiga penggal dalam tahun persekolahan. Rancangan mengajar ini diselaraskan di antara guru dalam sesuatu tingkatan/darjah dan juga di antara tingkatan/darjah di mana ada kaitan;
3.4.3 Memilih dan mencadangkan kepada pentadbiran sekolah buku teks untuk digunakan oleh pelajar berdasarkan kepada kesesuaian buku itu dari segi kehendak sukatan pelajaran dan tahap kebolehan mereka;
3.4.4 Memilih dan mencadangkan buku rujukan atau bahan bacaan tambahan yang sesuai dengan keperluan pembelajaran para pelajar dan kegunaan guru untuk dibekalkan di pusat sumber sekolah;
3.4.5 Menyelaraskan soalan-soalan ujian dan peperiksaan (berasaskan sekolah) yang disediakan bagi tiap-tiap tingkatan atau darjah dan jika perlu, menubuhkan bank soalan
3.4.6 Mengkaji dan menganalisa keputusan peperiksaan pelajar dalam tiap-tiap peperiksaan berasaskan (khususnya peperiksaan pertengahan dan akhir tahun ) dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi kelemahan-kelemahan pelajaran dan pembelajaran;
3.4.7 Mengadakan mesyuarat panitia secara berkala sekurang-kurangnya sekali sepenggal dan mengadakan perjumpaan secara `ad-hoc’ jika perlu;
3.4.8 Mengatur perjumpaan atau mesyuarat dengan ahli-ahli panitia (secara formal atau tidak formal) untuk memikir dan membincangkan masalah-masalah atau isu-isu yang berkaitan seperti masalah-masalah yang berhubung dengan kaedah mengajar serta mencari penyelesaian kepada masalah atau isu tersebut;
3.4.9 Bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan baru yang diperolehi setelah mengikuti kursus atau seminar dengan ahli-ahli lain;
3.4.10 Mewujudkan semangat saling bekerjasama dengan persatuan di sekolah dan menjalani hubungan kerja yang boleh membantu bagi mencapai matlamat pengajaran dan pembelajaran;
3.4.11 Bekerjasama dan bertukar-tukar fikiran, pengalaman dan kepakaran dengan panitia-panitia di sekolah-sekolah berhampiran atau sekawasan;
3.4.12 Bekerjasama dengan lain-lain panitia dan membantunya dalam usaha ke arah memajukan pelajar yang lemah dalam mata-mata pelajaran tertentu;
3.4.13 Melantik seorang setiausaha dari kalangan ahli untuk menyediakan minit mesyuarat dan mengedarkan minit itu kepada semua ahli panitia;
3.4.14 Menyelenggarakan fail-fail panitia dan semua minit atau laporan mesyuarat, surat menyurat dan rekod-rekod yang berkenaan

4. Harap Y.B. Datuk/Tuan memaklumkan kandungan Surat Pekeliling ini kepada semua sekolah.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”


Saya yang menurut perintah,

t.t

(HAJI JUMAAT BIN DATO’ HAJI MOHD. NOOR)
Bahagian Sekolah
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...