Tuesday 26 February 2013

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU-BAPA GURU (PIBG)

oleh : En. Rohaizad Bin Mohd Hanafiah, Penolong PPD Perhubungan 
pada 25 Feb 2013


Ruj. kami : JPA1006.PP/100-9/4/1 (    )
      Tarikh     : 21 Februari 2013

Semua Pengetua dan Guru Besar,
Sekolah-sekolah Daerah Pasir Gudang

Tuan,
MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU-BAPA GURU (PIBG)

Dengan segala hormatnya Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 4 Tahun 2004 pada perenggan 21 yang menjelaskan "Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan setiap tahun sebelum akhir bulan Mac" adalah dirujuk.
2. Sehubungan itu, semua Pengetua dan Guru Besar selaku Penasihat Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) dikehendaki untuk memaklumkan kepada YDP PIBG supaya mengadakan Mesyuarat Agung PIBG tahun ini sebelum 31 Mac 2013.
3. Sesalinan minit Mesyuarat Agung beserta senarai lengkap Jawatankuasa PIBG dilantik hendaklah diserahkan kepada Unit Perhubungan, PPD Pasir Gudang selepas Mesyuarat Agung diadakan.
4. Pihak sekolah hendaklah mengemukakan keputusan berhubung sumbangan PIBG yang telah dipersetujui kepada Pendaftar (Jabatan Pelajaran Johor) untuk kelulusan sebelum kutipan di buat.
Sekian, terima kasih.

Sunday 24 February 2013

CIRI- CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian.
Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani. Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.
Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu. Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:
1. Mentaliti
§  Kebijaksanaan atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
§  Keberanian atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko, baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
§  Mempunyai inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang kepadanya minta bertindak.
§  Mempunyai kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam organisasi.
2. Kemasyarakatan
§  Kesediaan memberi dan menerima pendapat.
§  Sikap positif dan terbuka.
§  Daya penggerak dan semangat juang yang kuat.
§  Kebolehan berkomunikasi secara berkesan.
3. Moraliti
§  Mempunyai disiplin diri yang unggul.
§  Kebersihan jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan pendirian dan ketahanan diri.
§  Iman yang teguh, terutama orang yang beragama Islam.
Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.
Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:
§  Empati; iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
§  Kesedaran; akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan kebolehan dirinya akan timbul.
§  Kebolehan: untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang adil dan tidak emosional.
Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima sebagai baik:
§  Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.
§  Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.
§  Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.
§  Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang bawahannya.
§  Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.
§  Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
§  Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang denganorang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.
§  Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.
§  Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
§  Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.
Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan .

Dokumen Standard Prestasi (DSP) Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah 2013.

oleh : En. Norazrin Bin Zahari, Penolong PPD Pentaksiran Berasaskan Sekolah 
pada 22 Feb 2013


Pengetua & Guru Besar,
Sekolah-Sekolah Daerah Pasir Gudang.

Tuan,
Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.      Sehubungan dengan itu diminta pihak sekolah memaklumkan kepada semua guru-guru  yang terlibat supaya menyemak semula Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang ada di laman web Lembaga Peperiksaan.

3.      Sekiranya terdapat perubahan yang ketara, sila muat turun DSP yang baru untuk penggunaan Tahun 1,2,3 dan Tingkatan 1 & 2 Tahun 2013.

         Sebarang pertanyaan , sila hubungi En. Norazrin bin Zahari Pen. PPD PBS ditalian 019-7346971.
Sekian, harap maklum dan terima kasih.

Tindakan : Pengetua & Guru Besar, Seklah-Sekolah Daerah Pasir Gudang.

SEGERA : PENGEMASKINIAN ePROFILE GURU MENGIKUT SEKOLAH

oleh : En. Hussin Bin Hamidon, Penolong PPD Pengurusan Kualiti 
pada 22 Feb 2013


           
                                                                           No. Rujukan       : JPA1006.SM/100-8/1/1(   )
                                                                           Tarikh               : 22 Februari 2013
Pengetua / Guru Besar dan
Setiausaha LDP
Sekolah-sekolah Daerah Pasir Gudang.
Tuan,
PENGEMASKINIAN e-PROFIL GURU MENGIKUT SEKOLAH
Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk.
2.            Untuk makluman, pihak sekolah diminta untuk melengkapkan e-PROFIL di laman web e-SPLG dengan kadar segera sebelum 28 Februari 2013 (Khamis) jam 4.00 Petang.
3.            Justeru, di sini saya sertakan nama-nama sekolah yang belum melengkapkan maklumat yang dikehendaki seperti di yang dilampirkan.
Segala kerjasama yang diberikan, pihak kami sangat menghargainya dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih.
Sekian untuk makluman dan tindakan.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
"KERJA SEPASUKAN MERAIH KEGEMILANGAN"
"1 HATI KE ARAH 1 MATLAMAT"

                                                                             


Lampiran Fail

http://ppdpgudang.edu.my/images/document-excel.png


Tindakan : PENGETUA / GURU BESAR DAN SU LDP

Wednesday 20 February 2013

PELAKSANAAN UJIAN 1 SEKOLAH RENDAH 2013

oleh : En. Adnan Bin Ismail, Penolong PPD Peperiksaan Dalaman 
pada 20 Feb 2013


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Sehubungan dengan takwim yang telah dikeluarkan oleh pihak Bahqagian Pengurusan Sekolah Harian, sekolah rendah diminta untuk melaksanakan Ujian 1 atau Ujian Awal Tahun pada tarikh yang telah ditetapkan iaitu;

Ujian 1/ Ujian Awal Tahun : 12 - 14hb Mac 2013.

Pengurusan jadual waktu adalah ditetapkan oleh pihak sekolah sendiri. Pihak sekolah diminta untuk berhubung terus dengan pihak Unit Akademik ( En Ahmad Bin Ali : Ketua Unit Akademik) berkaitan dengan pengurusan soalan.

Harap maklum.

MESYUARAT PANITIA PJ DAN PK PERINGKAT DAERAH PASIR GUDANG KALI 1/2013

oleh : Pn. Kamisah Binti Malik, Pembantu Tadbir (P/O) 
pada 20 Feb 2013


MESYUARAT AKAN DIADAKAN MENGIKUT KETETAPAN BERIKUT:

               TARIKH  :  20.02.2013
               MASA     :  1.30 PETANG - 5.00 PETANG (MAKAN T/HARI DISEDIAKAN)
               TEMPAT  :  SK SERI KOTA PUTERI

SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI ENCIK ZOOL HILMAN DI TALIAN 019-7881705 ATAU CIK NORAZAH BINTI ABU BAKAR DI TALIAN  014-8613608.  SEKIAN TERIMA KASIH.

Tindakan : GURU BESAR/KP PJ DAN KESIHATAN/GC

Friday 15 February 2013

PROGRAM PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING DAERAH PASIR GUDANG 2013


oleh : En. Husnizar Bin Ahmad,
 Penolong PPD Bimbingan Kaunseling & Kerjaya 
pada 15 Feb 2013



Kepada,

Pengetua dan Guru Besar,
SMK/SMKA/SABK/SK/SJK,
Daerah Pasir Gudang

Tuan,

PROGRAM PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING DAERAH PASIR GUDANG 2013

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.         Sehubungan dengan itu, tuan diminta untuk mengarahkan seorang Guru Bimbingan dan Kaunselingsekolah tuan hadir ke program tersebut seperti ketentuan berikut :

Tarikh                         : 20 dan 21 Februari 2012 (Rabu dan Khamis)
Tempat                      : SMK Taman Desa Jaya
Masa Pendaftaran     : 7.00 pagi hingga 7.30 pagi
           
3.         Kehadiran Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah tuan adalah diwajibkan. Makan dan minum disediakan sepanjang program oleh pihak penganjur. Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Husnizar Bin Ahmad (Penolong PPD Bimbingan Kaunseling & Kerjaya Murid) di talian 019-7285121. Kerjasama pihak tuan amat kami hargai.


Sekian, terima kasih.

Thursday 14 February 2013

URUSAN KENAIKAN PANGKAT PENGETUA DAN PENOLONG KANAN YANG MEMANGKU MULAI JANUARI 2012


oleh : En. Mohd Faizulnizam Bin Yaser,
 Pembantu Tadbir (P/O) 
pada 13 Feb 2013


Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.
2.       Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia sedang membuat Urusan Kenaikan Pangkat bagi Pengetua dan Penolong Kanan yang memangku mulai 01 Januari 2012 akan mula dibuka pada 13 Februari 2013 untuk tindakan Ketua Jabatan. Hanya maklumat Pengetua dan Penolong Kanan yang lengkap dan betul sahaja boleh diperakukan oleh Ketua Jabatan. Tarikh tutup bagi setiap peringkat Ketua Jabatan adalah seperti berikut :

i. Pengetua dan Penolong Kanan di bawah Pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri
No
Jawatan
Ketua Jabatan
  Tarikh Tutup  Secara Atas Talian
 Tarikh Tutup Bagi JPN Peraku ke BPSM
1
Pengetua
PPD
28 Februari 2013
10 Mac 2013
2
Penolong Kanan
Pengetua
28 Februari 2013
 ii. Pengetua dan Penolong Kanan Di Bawah Pentadbiran Bahagian.
No
Jawatan
 Ketua Jabatan
  Tarikh Tutup Secara Atas Talian
  Tarikh Tutup Bagi JPN Peraku ke BPSM
1
Pengetua
Bahagian
10 Mac 2013
10 Mac 2013
2
Penolong Kanan
Pengetua
28 Februari 2013

3.       Sehubungan itu, Ketua Jabatan (Pengetua) yang telah memperakukan kenaikan pangkat Penolong Kanan pada iklan kenaikan pangkat yang disiarkan pada Disember 2012, iklan ini tidak perlu diambil tindakan.

4.       Oleh itu, diingatkan bahawa urusan Kenaikan Pangkat Pengetua dan Penolong Kanan ini akan menggunakan
 Sistem ePangkat sepenuhnya dan perakuan kenaikan pangkat yang diterima secara luar talian tidak akan dipertimbangkan. Bersama-sama ini disertakan langkah-langkah perakuan kenaikan pangkat bagi Pengetua dan Penolong Kanan yang memangku mulai 01 Januari 2012. Sekian untuk makluman dan tindakan tuan / puan selanjutnya.
Terima kasih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...