Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif
pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan
keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti
mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses
kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. Seorang daripadanya cuba
membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Dalam
proses perhubungan Ketua Jabatan dan kakitangan, terdapat banyak aspek yang
perlu diberi perhatian.
Misalnya, bagaimanakah seorang Ketua Jabatan mempengaruhi tingkah
laku kakitangan supaya dapat menghasilkan output yang sempurna. Sebagai contoh
dalam situasi sekolah misalnya, pengetua/guru besar dan guru-guru berusaha
melahirkan pelajar yang sempurna dari segi mental, fizikal, rohani dan jasmani.
Seorang pengetua/guru besar mesti mempunyai ciri-ciri kepimpinan, agar mendapat
kerjasama dan diterima oleh semua kakitangan di sekolah.
Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya
mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi
bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu.
Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’,
beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang
oleh seseorang pemimpin itu. Pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di
dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya
sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah
penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun
untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang
berunsurkan kebolehan tersendirinya. Ini termasuklah:
1. Mentaliti
§ Kebijaksanaan
atau kebolehan membuat perhitungan yang jauh sebelum bertindak dengan menilai
antara yang baik dan buruk berdasarkan pertimbangan ilmu dan pengalaman.
§ Keberanian
atau kesungguhan serta kesanggupan menghadapi cabaran dan masalah serta risiko,
baik yang berpunca dari luar diri atau dalam diri sendiri.
§ Mempunyai
inisiatif atau tindakan yang dimulakan sendiri tanpa menunggu orang lain datang
kepadanya minta bertindak.
§ Mempunyai
kreativiti sendiri, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud
dalam organisasi.
2. Kemasyarakatan
§ Kesediaan
memberi dan menerima pendapat.
§ Sikap
positif dan terbuka.
§ Daya
penggerak dan semangat juang yang kuat.
§ Kebolehan
berkomunikasi secara berkesan.
3. Moraliti
§ Mempunyai
disiplin diri yang unggul.
§ Kebersihan
jiwa terutamanya dari segi keadilan, amanah, ketenangan, kesabaran, keteguhan
pendirian dan ketahanan diri.
§ Iman yang
teguh, terutama orang yang beragama Islam.
Antara ketiga-tiga ciri yang dinyatakan, moraliti adalah yang
terpenting untuk menilai seseorang pemimpin sama ada baik atau buruk, berkesan
atau tidak, boleh bertahan lama atau tidak.
Pemimpin memerlukan juga sikap tertentu untuk mempengaruhi orang
lain. Perkara yang paling penting ialah pemimpin harus mempunyai pengertian dan
tanggapan yang tajam terhadap individu-individu yang saling berurusan
dengannya. Selain daripada itu seorang pemimpin juga harus mempunyai:
§ Empati;
iaitu kebolehan untuk memahami perasaan orang lain dan bersimpati.
§ Kesedaran;
akan kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri. Sedar tentang bagaimanakah dirinya
dianggap oleh orang lain. Hanya apabila ini berlaku maka barulah kepercayaan
kebolehan dirinya akan timbul.
§ Kebolehan:
untuk melihat secara objektif akan masalah-masalah dan tingkah laku
anggota-anggota lain. Pemimpin harus bersikap adil boleh memberi analisa yang
adil dan tidak emosional.
Selain itu, sekiranya seseorang itu ingin menjadi pemimpin yang
baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan
diterima sebagai baik:
§ Seseorang
pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak
tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari
latihan dan pengalaman.
§ Seseorang
pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan
baik atau tidak baik kepada organisasinya.
§ Seseorang
pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya
kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan
tidak memerlukan pakar khusus.
§ Seorang
pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya.
Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan
tersendiri. Pemimpin yang baik juga tidak berkasar dengan orang-orang
bawahannya.
§ Seseorang
pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan
bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang
tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga
dia berada.
§ Dalam
sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang
rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang
pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima
hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.
§ Seorang
Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang denganorang-orang bawahannya
mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan
arahan saja.
§ Seorang
pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas
dan manusia.
§ Seorang
pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya.
Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.
§ Seorang
pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah
apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan
dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.
Melalui
perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan
dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh
menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara
tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif
orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian
matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada
kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui
penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama
kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin
sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk
berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.
Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status
jawatan yang disandang hanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan
adalah fungsi kedua-dua kuasa; secara formal melalui jawatan dan secara tidak
formal yang bukan kerana jawatan, iaitu penerimaan orang-orang bawahan .